Ahmad Husni bersama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar membaca buku cerita kepada murid-murid Tadika Perpaduan Tanah Hitam di Ipoh, semalam.  
Ahmad Husni bersama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar membaca buku cerita kepada murid-murid Tadika Perpaduan Tanah Hitam di Ipoh, semalam.
Ipoh: Kerajaan menyasarkan 10 juta pekerja berpendapatan lebih RM2,000 sebulan menjelang 2020, berbanding jumlah kira-kira lima juta sekarang.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata sasaran mewujudkan lebih banyak tenaga kerja berpendapatan tinggi dalam tempoh tujuh tahun ini mampu dicapai menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).
“Ketika ini, kira-kira 4.5 juta pekerja memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM7,000 dan 500,000 pekerja memperoleh lebih RM7,000.


“Sasaran 10 juta pekerja berpendapatan lebih RM2,000 mampu dicapai kerana Pendapatan Negara Kasar (PNK) kini semakin meningkat,” katanya selepas merasmikan Projek Pembangunan Semula Pasar Tanjung Rambutan bernilai RM5.8 juta, di sini, semalam.

Capai PNK RM1.7 trilion

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, sasaran negara pada 2020 adalah untuk mencapai PNK sebanyak RM1.7 trilion dan kini jumlah yang berjaya diperoleh kira-kira RM900 bilion.

“Justeru, pelbagai pendekatan dijalankan kerajaan seperti pelaksanaan ETP bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Ia termasuk meningkatkan jumlah pendapatan individu dengan menyasarkan lapan juta pekerja berpendapatan antara RM2,000 hingga RM7,000 sebulan serta dua juta pekerja berpendapatan lebih RM7,000 pada 2020 nanti,” katanya.
Katanya, menerusi ETP juga tumpuan bukan hanya diberi kepada ekonomi berpendapatan rendah malah lebih memfokuskan ekonomi berpendapatan tinggi kerana ia membantu meningkatkan jumlah pendapatan pekerja serta bilangan mereka di negara ini.