Shima

SETELAH sekian lama tidak menghasilkan album, penyanyi popular 90-an, Shima berhasrat untuk kembali aktif di persada seni hiburan tanah air.

Justeru, bagi merealisasikan hasratnya itu, pemilik nama Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman ini merasakan penyertaannya dalam program realiti, Gegar Vaganza adalah platform terbaik buat dirinya.

“Saya ditawarkan menyertai pertandingan ini selepas setahun menamatkan kontrak menyanyi di sebuah hotel. Bagi saya, ini adalah satu cabaran yang baik bagi saya untuk memantapkan diri semula sebelum muncul dengan single lagu baru tahun hadapan,” katanya.

Gegar Vaganza ialah program realiti yang menyaksikan 12 penyanyi otai tanah air bersaing dalam pertandingan nyanyian yang disiarkan pada setiap Ahad, jam 9 malam mulai 16 November lalu di Astro Ria (104) dan Maya HD (135).

Selain Shima, ia turut disertai oleh Mamat Exist, Rahmat Mega, Hasnol, Fazli Zainal, Sam Innuendo, Ayai Ilusi, Haleeda, Nadia, Sharifah Zarina, Ifa Raziah dan Adilla.

Ketika ditanya adakah dia tidak penat untuk bersaing lagi, penyanyi berusia 45 tahun ini ada jawapannya tersendiri.

“Saya tidak pernah berasa penat. Jarang ada program sebegini yang menampilkan barisan artis lama berentap, sementelahan pula kesemuanya sudah lama menyanyi dan ada pengalaman sendiri.

“Saya menganggap ia sebagai satu cabaran yang sihat dan bagus,” katanya sambil memberitahu bakal membawakan kembali lagu-lagu popularnya dulu seperti Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki.

Jelas Shima lagi, fokusnya kini adalah pada kerjaya nyanyian selepas bercerai buat kali keempat sejak dua tahun lalu.

“Saya bernikah kali keempat pada 2004. Tapi jodoh kami tidak panjang. Saya terimanya sebagai takdir. Saya tidak mahu lagi memikirkan soal berumah tangga,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh dua tahun itu, dia menjalani hidup sendiri di samping menjaga lima ekor kucing kesayangannya.