Assalamualaikum...
Pagi ini dikejutkan dengan status pemergian 5 sekeluarga dalam tragedi
kemalangan ngeri di Endau Mersing. Mangsa merupakan orang sekampung di
Felda Air tawar 5 dan arwah isterinya pernah menjadi rakan setugas
dengan suami saya di Sekolah Menengah Air Tawar. Mengenali keluarga
dan juga ibubapa walaupun tidak secara dekat kerana tinggal di felda
yang sama. Berita yang cukup meyedihkan kerana dalam kemalangan itu
telah menyebabkan arwah, isteri,2 orang anak dan kakak arwah isterinya
meninggal dalam kemalangan itu. Diberitakan hanya seorang anak yang
terselamat. 4 mangsa meninggal di tempat kejadian manakala anak sulung
pasangan itu meninggal di hospital Mersing.
Salam takziah untuk keluarg arwah dan Al fatihah untuk arwah, suami dan anak2nya...AL FATIHAH..
Pada pukul 5.17 ptg , ramai saudara mara dan jiran tetangga menanti
ketibaan jenazah di rumahnya..Hujan renyai2 dan cuaca yang sentiasa
mendung sejak pagi tadi hingga ke saat ini mengimbau rasa hiba kita,
apatah lagi ahli keluarga mereka...
Dikhabarkan bahawa arwah isteri (Shamsiah binti Maidin )dan arwah kakak
isterinya akan disemadikan di felda Air Tawar 3 (arwah orang Felda AT3)
manakala suami dan dua anaknya disemadikan di Felda Air Tawar 5..Semuga
dipermudahkan segala urusan...Aminn.
Jenazah arwah Abdullah dan 2 anaknya sampai ke FAT 5 lebih kurang pukul
11.30 malam dan dikebumikan lebih kurang pukul 12.45 malam dan selesai
pada pukul 2.00 pagi menurut kata sahabat saya yang turut serta
menghadiri pengkebumian tersebut.
akan diupdate jika ada berita dan gambar terkini ....
Lima sekeluarga maut dirempuh lori tangki
Oleh Mohd Sah Muda
am@hmetro.com.my
KENANGAN...gambar keluarga ini dirakam pada Hari Raya Aidilfitri yang
lalu di Felda Air Tawar, 5, Kota Tinggi. Muhammad Aiman Syahirin (kiri);
Abdullah (dua kiri), Maisarah (kanan) dan Samsiah (dua kanan), bersama
ibu Abdullah, Ramlah Omar (tengah). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MERSING: Empat terkorban di tempat kejadian manakala seorang lagi
maut di Hospital Mersing di sini, selepas kenderaan pelbagai guna (MPV)
Nissan Grand Livina dinaiki enam sekeluarga itu bertembung sebuah lori
tangki minyak di Kilometer 13 Jalan Endau – Mersing, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, kereta dinaiki enam
sekeluarga berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke
Jengka, Pahang, untuk menghantar seorang ahli keluarga yang mendaftar di
Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka.
Empat yang maut di lokasi ialah Abdullah M Yousuf, 43, isterinya;
Samsiah Maidin, 37; anak keduanya, Maisarah, 4 dan kakak ipar Abdullah,
Noraini, 41.
Manakala anak sulung mereka, Muhammad Aiman Syakirin, 8, maut ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Mersing.
Anak bongsu pasangan itu, Ammar Haziq, 3, yang duduk di depan
bersama ibu bapanya kini mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital
Mersing akibat kecederaan di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid
berkata, siasatan awal mendapati MPV itu dipandu Abdullah secara
berkonvoi dua kenderaan lain dalam perjalanan ke Pahang.
"Sebaik tiba di lokasi iaitu kawasan berbukit, kenderaan arwah
Abdullah yang menuruni bukit dipercayai hilang kawalan menyebabkan MPV
dipandunya berpusing dan melintang di laluan bertentangan.
"Secara kebetulan, sebuah lori tangki minyak sawit tiba di lokasi dan pemandunya gagal mengelak lalu merempuh MPV berkenaan.
"Akibat rempuhan kuat itu, semua mangsa cedera parah di kepala dan
tersepit di dalam MPV itu menyebabkan kami terpaksa mendapatkan bantuan
Bomba dan Penyelamat Mersing bagi mengeluarkan mangsa," katanya.
Menurutnya, anggota bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa
kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan semua mangsa dan empat daripadanya
sudah meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan.
Muhammad Aiman, katanya, yang turut cedera parah di kepala dan badan
dikejarkan ke Hospital Mersing untuk rawatan kecemasan, namun disahkan
meninggal dunia selepas sejak mendapatkan rawatan di hospital itu.
Katanya, lokasi itu antara kawasan maut kerana sering membabitkan
kemalangan maut dan orang ramai diminta mematuhi papan amaran di sekitar
jalan raya.
"Semua jenazah dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk
bedah siasat dan kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41 (1) AKta
Pengangkutan Jalan 1987 kerana kemalangan maut.
"Kami sudah mengambil keterangan pemandu lori dan menasihatkan semua
pengguna mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati bagi mengelak
kejadian tidak diingini," katanya.
Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Mersing ketika
dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan beberapa minit
selepas kejadian dan dua jentera membabitkan 15 anggota dari balai Endau
dan Mersing dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba, kami dapati semua mangsa tersepit di dalam MPV itu
dengan pasangan suami isteri dan anak dipercayai bongsu berada di tempat
duduk pemandu dan penumpang depan, manakala selebihnya berada di
belakang.
"Kami mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum semua dihantar ke Hospital Mersing," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01