ALOR GAJAH – Seorang anggota
tentera dari Kem Mahkota, Kluang, Johor, maut selepas motosikal Yamaha
125Z yang ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 203.8,
Lebuhraya Plus arah utara, di sini, tengah malam semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam
12.15 tengah malam itu, mangsa, Saiful Ramli, 22, yang datang dari arah
Muar, Johor menuju ke Seremban merempuh belakang sebuah kereta sebelum
tercampak ke tengah jalan lalu dilanggar kenderaan lain.
Sumber polis berkata, kejadian disedari
seorang pemandu lori yang ketika itu sedang melalui jalan berkenaan dan
ternampak objek di laluan kiri yang disangkanya bangkai haiwan.
“Pemandu itu yang dalam perjalanan
menghantar perkakasan elektronik ke Pulau Pinang kemudian menyedari
objek tersebut adalah tubuh manusia. Dia segera hentikan lori di tepi
lebuh raya dan cuba membantu mengawal lalu lintas.
“Dia juga menghubungi khidmat lebuh raya
sambil memerhatikan mayat itu dari jauh berharap ia tidak akan
dilanggar lagi oleh kenderaan lain,” kata sumber polis berkenaan.
Menurut sumber polis itu lagi, cebisan
daging mangsa juga bertaburan atas jalan raya kerana dipercayai terseret
kira-kira 60 meter dari motosikalnya. Badan mangsa dalam keadaan
separuh hancur.
“Mayat mangsa yang terseret di laluan kiri mengakibatkan banyak kenderaan hampir hilang kawalan untuk mengelak,” katanya.
Sumber polis berkata, sementara menunggu
bantuan kecemasan, orang awam yang memberhentikan kenderaan di tepi
lebuh raya juga terpaksa menggunakan lampu suluh dan memberi isyarat
kepada pengguna lain agar tidak merempuh mayat mangsa.
Arwah berubah jadi pendiam
Sementara itu rakan mangsa, Mohd Fadli
Shafie, 22, berkata, sebelum tragedi itu berlaku, dia sempat menghantar
Saiful pulang ke rumah kedua ibu bapanya di Sungai Mati, Muar kira-kira
jam 6 petang dari Kem Mahkota.
“Semasa saya menghantarnya pulang ke
rumah, arwah tidak seperti biasa yang suka berlawak dengan saya. Dia
hanya menjawab apabila saya bertanya.
“Bagaimanapun dia ada beritahu saya
tentang hajatnya hendak keluarkan wang bonus Januari ini untuk diberikan
kepada ibu dan ayah agar mereka dapat bina sebuah lagi rumah,” katanya.
Mohd Fadli yang mengenali Saiful sejak
mula memasuki khidmat tentera empat tahun lalu berkata, arwah ada
memberitahunya hendak ke Melaka pada sebelah malam namun tidak tahu
tujuannya hingga menerima berita tidak disangka-sangka itu.
“Sekarang arwah sedang menjalani kursus
dalam kem selama empat bulan hingga pertengahan Januari namun tidak
sempat menamatkannya. Arwah juga rajin pulang ke kampung pada setiap
hujung minggu,” katanya.
Sempat borak dengan anak
Bapa mangsa, Ramli Ibrahim, 50,
memberitahu Sinar Harian, dia juga sempat berborak anak ketiganya itu
sebelum arwah keluar kira-kira jam 10 malam.
“Arwah beritahu hendak ke Seremban
berjumpa rakannya dan sudah menjadi kebiasaan dia keluar pada waktu
malam dan pulang pagi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan kejadian.
Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat sekiranya punca kemalangan itu turut membabitkan kenderaan lain.
“Polis sedang mengenal pasti sekiranya
ada kenderaan lain yang terlibat hingga mengakibatkan kemalangan maut
itu berlaku dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan
Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian
diminta menghubungi Balai Polis Cawangan Trafik Daerah, 06-5562222 atau
datang ke balai bagi membantu siasatan dan mayat mangsa dihantar ke
Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.
No comments:
Post a Comment