Kisah Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W
Kelahiran Nabi Muhammad SAW menunjukkan tanda-tanda yang luar biasa.
Siti Aminah tidak berasa sakit semasa melahirkan anaknya. Biasanya, bayi
yang baru lahir sudah tentu menangis, tetapi Nabi Muhammad SAW tidak
menangis, dia diam sahaja. Keadaannya seperti orang berfikir. Matanya
bersinar-sinar seperti sedang melihat sesuatu.
Kemudian dia
bersin. Aminah pula berasa sangat gembira selepas melahirkan Muhammad
bagaikan mendapat harta yang banyak. “Pada malam Aminah melahirkan
bayinya, saya berada di halaman rumahnya. Saya lihat rumah itu
bermandikan cahaya. Bintang-bintang seperti sangat dekat, hingga saya
bimbang sekiranya bintang itu jatuh di atas kepala saya,” kata Fatimah
al-Thaqfiyah, jiran yang juga sahabat baik Aminah.
Menurut Fatimah al-Thaqfiyah lagi, apabila dia masuk ke dalam rumah
Aminah, dilihatnya keadaan dalam rumah itu juga terang benderang. Dia
hairan melihat Muhammad. Biasanya, bayi lahir terlentang, tetapi
Muhammad lahir dalam keadaan tertiarap, kepalanya mendongak ke langit,
jari-jarinya terangkat-angkat seolah-olah sedang mengucapkan sesuatu,
matanya juga merenung ke langit, seolah-olah ada benda yang
dipandangnya.
Kisah keganjilan Muhammad itu menarik perhatian
jiran tetangga. Mereka datang ke rumah Aminah bagi melihat bayi yang
dikatakan luar biasa itu. Akhirnya orang ramai tidak putus-putus
mengunjungi rumah Aminah. Keadaan rumah itu juga tiba-tiba sahaja
berubah. Rumah yang tidak bermaya selama ini, tiba-tiba sahaja
berseri-seri dipandang serta menjadi tumpuan orang ramai.
Pada
waktu malam pula, rumah itu terang benderang seperti sedang diterangi
bulan purnama sedangkan ketika itu bulan tidak terbit. Kaum wanita pula
amat suka melihat wajah bayi yang baru dilahirkan Aminah. Mereka
terpesona kerana seolah-olah ada satu tarikan pada tubuh Muhammad.
No comments:
Post a Comment