Kuala Lumpur:
Rakyat Malaysia yang bertugas sebagai wartawan online stesen televisyen
Al-Jazeera, Claudia Theophilus, mati dipercayai tertembak diri sendiri
ketika bercuti di Baakleen, sebuah daerah di kawasan pergunungan di
Lubnan, semalam.
Meninggal di
hospital Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi waktu Lubnan, Claudia,
42, yang bertugas dengan rangkaian berita antarabangsa berpangkalan di
Doha, Qatar itu dikatakan berada di daerah berkenaan untuk melawat
kenalannya sejak 28 Januari lalu.
Ketika
kejadian, dua rakan mendiang yang juga penduduk Lubnan berada bersamanya
di tempat kejadian dan salah seorang daripada mereka melaporkan
kejadian kepada polis.
Claudia yang
pernah bertugas dengan akhbar The Sun dan portal berita Malaysiakini
disahkan meninggal dunia sejurus tiba di unit kecemasan sebuah hospital
di Baakleen.
Difahamkan,
bedah siasat sudah selesai dan mayat dihantar ke sebuah hospital di
Beirut sebelum dibawa pulang beberapa lagi hari lagi.
Duta Besar
Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppannan ketika dihubungi semalam,
mengesahkan kejadian dan memaklumkan sudah menghantar pegawainya untuk
berjumpa polis di Baakleen.
“Maklumat awal
yang kita terima, mendiang dikatakan tertembak diri sendiri menggunakan
sepucuk raifal, namun masih menunggu laporan lengkap polis,” katanya.
Keluarga
Theophilus di Seremban dan Wisma Putra sudah dimaklumkan dan kedutaan
sedang menguruskan dokumen untuk membawa mayat pulang.
Di Seremban,
keluarga Theophilus terlalu sedih apabila menerima berita kematian anak
mereka. Bapanya tidak mahu menemui wartawan sambil memberi alasan belum
mendapat berita lengkap.
Seorang
saudaranya yang enggan dikenali berkata, mereka hanya mendapat berita
itu daripada majikan Theophilus di Kuala Lumpur, semalam.
Bapa bimbang
“Kali terakhir
Theophilus pulang ke rumah ketika sambutan Krismas lalu dan dia memang
sering pulang tiga bulan sekali. Apabila dia beritahu hendak bercuti di
Lubnan, bapanya bimbang dan beritahu tempat itu bahaya.
“Bagaimanapun,
Theophilus kata dia hanya bercuti pendek, iaitu kira-kira tiga hari,”
katanya ketika ditemui di Taman Bukit Kepayang dekat sini.
Anak sulung
tiga beradik itu adalah lulusan undang-undang universiti tempatan dan
menyertai akhbar The Sun pada 1995 dan Malaysiakini pada 2005, sebelum
beralih ke Al-Jazeera berpangkalan di Doha, Qatar, sejak dua tahun
lalu.
Saudaranya
berkata, berita itu menambah kesedihan bapanya kerana adik bongsu
Theophilus kini koma selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari,
baru-baru ini.
Sementara itu
menurut BERNAMA, Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan
masih menunggu laporan lengkap daripada pihak berkuasa Lubnan berhubung
kematian wartawan Malaysia, Claudia Theopolis.
Menteri Luar,
Datuk Seri Anifah Aman, berkata laporan awal pihak polis Lubnan
memaklumkan kematian mendiang disebabkan kemalangan ketika menggunakan
senjata api.
Kes masih disiasat
“Kes ini masih
dalam siasatan pihak polis Lubnan dan keluarga mendiang sudah
dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan,
semalam.
Claudia, 42,
petugas di syarikat penyiaran Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha,
Qatar, dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu, 2.30 pagi waktu Lubnan.
Laporan media
menyebut mendiang dipercayai melakukan kunjungan tiga hari ke Baakleen,
Lubnan bersama dua rakannya yang juga rakyat negara itu.
Anifah berkata
kementeriannya akan memberi kerjasama untuk membantu siasatan selain
memberi khidmat konsular kepada keluarga mendiang.
Dalam satu
kenyataan berasingan, Malaysia mengecam serangan bom ke atas Kedutaan
Besar Amerika Syarikat di Ankara, Turki pada Jumaat yang mengorbankan
seorang pengawal keselamatan warga Turki.
Turut terbunuh suspek yang meletupkan bahan letupan itu.
Anifah melahirkan rasa simpati Malaysia dengan kematian dan kecederaan terhadap orang awam akibat letupan itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment