Akhirnya penantian selama tiga hari berakhir.
Kerajaan
Malaysia mendedahkan gambar dan mengesahkan sekurang-kurangnya 13
kematian susulan operasi pengeboman yang dijalankan di Kampung Tanduo,
Lahad Datu.
Menteri
Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein berkata langkah tersebut bagi
membuktikan bahawa kejadian yang berlaku bukan satu rekaan tetapi
realiti yang berlaku di lapangan.
Menteri
pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media sama menunjukkan
kepada wartawan gambar sembilan mayat dalam satu longgokan.
Beliau
turut menunjukkan gambar penceroboh yang ditembak mati pagi ini serta
tiga lagi di satu kawasan perkuburan yang didakwa digali penceroboh.
Hishammuddin
pula bagaimanapun enggan mendedahkan keseluruhan jumlah kematian di
pihak musuh, kecuali yang dirakam dalam gambar tersebut.
Selain
kematian pada pagi ini, belum dapat dipastikan sama ada 12 yang
selebihnya maut semasa serangan semalam atau pertempuran pada Jumaat
lalu.
Kerajaan
mendedahkan gambar tersebut ekoran aduan wartawan yang sukar mendapat
akses selepas pasukan keselamatan memasuki kampung tersebut untuk
memburu penceroboh bersenjata Filipina selepas jet pejuang mengebom
kawasan itu semalam.
Hishammuddin
juga berkata saki baki kumpulan penceroboh menyerang pegawai forensik
yang dihantar untuk mengumpul bukti dalam operasi pembersihan.
Katanya, serangan itu dilakukan oleh beberapa orang penceroboh yang melepaskan diri daripada serangan yang dijalankan semalam.
Serangan
yang disasarkan kepada anggota polis dari jabatan siasatan jenayah
(JSJ) dan pasukan forensik itu berlaku ketika kawasan berkenaan sudahpun
dianggap selamat.
Dalam
perkembangan yang sama, kegagalan kerajaan menangani insiden
pencerobohan di Lahad Datu, Sabah dengan baik kerana mengambil masa yang
lama iaitu 23 hari sehingga lapan anggota keselamatan terkorban, kata
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan kelemahan dalam kepimpinan yang ada hari ini.
"Ini bukan kegagalan di pihak polis atau ATM tetapi kepimpinanan.
"Berlaku
kelemahan dalam memberi arahan daripada pihak atasan. Kenapa kerajaan
perlu menunggu sehingga 23 hari baru mengambil tindakan sedangkan
kedaulatan telah digugat," katanya pada sidang media di ibu pejabat
KEADILAN hari ini.
Anwar turut menjadikan tragedi di Sauk, Perak sebagai contoh di mana insiden itu hanya mengambil masa empat hari diselesaikan.
Ketua
Pembangkang itu juga mendesak kerajaan mengadakan persidangan Parlimen
tergempar bagi membincangan isu tersebut dan mendapatkan penjelasan
sepenuhnya tentang krisis itu.
Malah katanya penyelesaian secara politik itu perlu diambil untuk jangka panjang bagi memulihkan keadaan di Sabah.
"Ahli Parlimen berhak dapat penerangan sepenuhnya mengenai krisis ini.
"...Perdana Menteri tidak boleh menangguh atau melenggahkan masa untuk memanggil sidang Parlimen," tegasnya.
Beliau
kesal apabila ada pihak yang cuba mengaitkan beliau dengan pencerobohan
itu walaupun pihak Kesultanan Sulu sendiri mengeluarkan kenyataan
menafikan pembabitannya dalam hal tersebut.
"Banyak matlamat berhubung perbincangan kerajaan dan pihak Sulu perlu jelaskan.
"...Kesultanan Sulu sendiri telah keluarkan kenyataan menafikan sebarang perkaitan saya dalam insiden Lahad Datu itu," jelasnya.
No comments:
Post a Comment