KEPERCAYAAN PADA KESAKTIAN TANGKAL | Kepercayaan mempercayai kesaktian tangkal yang mampu membuat seseorang kebal dan halimunan telah wujud sejak zaman-berzaman. Namun, sejauh manakah tangkal boleh memberikan kuasa kepada si pemakai? Atau, ia hanyalah keyakinan dan kepercayaan semata-mata.
Ramai yang beranggapan batu delima tertentu memiliki kuasa pendiding, menolak kuasa jahat, menarik rezeki, dan memiliki kuasa penyembuhan. Ada juga yang mempercayai sesetengah batu delima memiliki khadam (jin penjaga) |
Fenomena Tangkal
Satu
fenomena yang amat membimbangkan di kalangan umat Islam hari ini adalah
kerapuhan aqidah yang meruncing. Ini antaranya dapat dilihat melalui
suburnya amalan-amalan khurafat, tahayyul, bid’ah dan syirik.
Di antara contoh mudah yang dapat kita perhatikan adalah suburnya amalan tangkal dan pelaris. Kunjungi dan singgahlah di mana-mana kedai makan orang Melayu atau Mamak, sebahagian besar dari mereka pasti ada menggantung sesuatu di bahagian dinding berdekatan kaunter bayaran.
Di antara contoh mudah yang dapat kita perhatikan adalah suburnya amalan tangkal dan pelaris. Kunjungi dan singgahlah di mana-mana kedai makan orang Melayu atau Mamak, sebahagian besar dari mereka pasti ada menggantung sesuatu di bahagian dinding berdekatan kaunter bayaran.
Kalau
kita perhatikan baik-baik biasanya pada bahagian dinding tersebut mereka
gantung dengan sesuatu mungkin sama ada berupa bingkai (frame) berisi
kertas kuning atau kilat berwarna perak, gantungan kain hitam atau
kuning yang diikat, gambar “wali keramat”, ayat bismillah 7, lambang
khatamun nubuwwah, al-Qur’an kecil, cebisan kain kelambu ka’abah,
tulisan-tulisan jawi berbentuk formasi aneh, “ayat 1000 dinar”, atau
rajah-rajah dan simbol-simbol pelik yang hanya boleh difahami oleh
pembuat tangkal.
Kalau di
rumah-rumah pula, masih ramai yang menyimpan dan menggantungkan tulisan
ayat al-Kursi di pintu-pintu rumah, botol-botol berisi “bahan
pendinding”, keris penjaga rumah, cincin azimat, batu geliga, dan
apa-apa jua yang sewaktu dengannya. Masih ramai masyarakat Islam di
negara kita hari ini meyakini tangkal-tangkal dan azimat-azimat tersebut
mampu menarik kebaikan dan menolak mudharat.
Seiring
berleluasanya amalan khurafat ini, sebahagian media dan industri
perfileman pun turut tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan
memainkan isu tersebut bagi tujuan mengaut keuntungan. Akhirnya apa yang
telah sedia buruk menjadi bertambah-tambah buruk. Terutamanya terhadap
pembinaan aqidah kanak-kanak dan remaja hari ini.
Tangkal Tiada Manfaatnya
Apabila
budaya khurafat dan kepercayaan tahayyul seperti ini berleluasa, selagi
itulah umat Islam akan terus dilanda kehinaan, kebodohan, kelemahan, dan
kerugian. Kerana kebergantungan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala
telah bertukar kepada tangkal dan azimat yang tidak mampu berbuat
apa-apa tersebut. Disebabkan kejahilan, wang dibelanjakan untuk membeli
syirik.
Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ
“Sesiapa
yang menggantungkan sesuatu (berupa tangkal), maka segala urusannya akan
diserahkan kepadanya (kepada tangkal).” (Hadis Riwayat Ahmad, 31/78,
no. 18781. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)
Sesiapa
yang menggantungkan tangkal, jiwa dan hidupnya akan mudah terganggu dan
tidak tenteram. Malah ia telah melakukan pula kesyirikan. Ini
sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَنْ تَعَلَّقَ تَمِيمَةً، فَلَا أَتَمَّ اللهُ لَهُ، وَمَنْ تَعَلَّقَ وَدَعَةً، فَلَا وَدَعَ اللهُ لَهُ
“Sesiapa
yang menggantung tamimah maka semoga Allah tidak menyempurnakan apa yang
dimilikinya, dan sesiapa yang menggantungkan wada’ah, semoga Allah
tidak membiarkannya dalam ketenangan.” (Majma’ az-Zawa’id, 5/175. Kata
al-Haitsami, “Hadis Riwayat Ahmad, Abu Ya’la, dan ath-Thabrani, para
perawinya tsiqah.”. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)
Dalam riwayat yang lain:
مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً، فَقَدْ أَشْرَكَ
“Sesiapa
menggantungkan tamimah maka dia telah melakukan syirik.” (Majma’
az-Zawa’id, 5/175, no. 8399. Kata al-Haitsami para perawinya tsiqah.
Dinilai sahih oleh al-Albani)
Tamimah
adalah seperti tali (atau kalung) yang digantungkan pada tubuh sebagai
azimat atau tangkal bertujuan mendapatkan kebaikan dan mencegah
perkara-perkara berbahaya sama ada sihir, gangguan, penyakit, atau
lain-lain. Biasanya diikat pada tangan atau dikalungkan pada leher
anak-anak kecil.
Wada’ah
adalah bahan-bahan berupa cengkerang seperti kulit siput atau kerang
yang diambil dari laut kemudian dijadikan sebagai kalung bertujuan
menjaga diri dari gangguan dan bahaya.
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah meriwayatkan dalam Tafsirnya:
دخل حذيفة على مريض، فرأى في عضده سيرًا فقطعه -أو: انتزعه -ثم قالوَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُمْ بِاللَّهِ إِلا وَهُمْ مُشْرِكُونَ
“Hudzaifah
pernah menjenguk seseorang yang sedang terlantar sakit. Lalu beliau
terlihat seutas tali yang dijadikan azimat pada lengan pesakit. Maka
beliau pun memotongnya (atau mencabutnya) dan berkata (menyebutkan
firman Allah, Surah Yusuf, 12: 106): “Dan sebahagian besar dari mereka
tidak beriman kepada Allah melainkan dalam keadaan mensyirikkan
Allah.”.” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/419)
Membuang Tangkal
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengatakan:
لاَ يَبْقَيَنَّ فِي رَقَبَةِ بَعِيرٍ قِلَادَةٌ مِنْ وَتَرٍ أَوْ قِلَادَةٌ إِلاًّ قُطِعَتْ
“Jangan
kamu tinggalkan satu kalung pun pada leher unta melainkan ianya harus
dipotong.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 10/190, no. 2783)
Para
ulama menjelaskan berkaitan hadis ini bahawa apa jua bentuk tali yang
diikatkan pada leher unta (atau haiwan) yang padanya mengandungi
kepercayaan atau i’tiqad tertentu (sebagai tangkal) maka ia wajib
ditanggalkan (dihapuskan). Demikian juga pada selain itu.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ
“Jika
engkau memohon (berdoa), mohonlah kepada Allah. Dan jika engkau meminta
pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah.” (Hadis Riwayat
at-Tirmidzi, 9/56, no. 2440. Hasan sahih)
Berkaitan dengan ini, ada satu kisah riwayat daripada Zainab isteri ‘Abdullah B. Mas’oud. Katanya:
كَانَ عَبْدُ اللهِ إِذَا جَاءَ مِنْ حَاجَةٍ فَانْتَهَى إِلَى الْبَابِ، تَنَحْنَحَ وَبَزَقَ، كَرَاهِيَةَ أَنْ يَهْجُمَ مِنَّا عَلَى شَيْءٍ يَكْرَهُهُ، قَالَتْ: وَإِنَّهُ جَاءَ ذَاتَ يَوْمٍ، فَتَنَحْنَحَ، قَالَتْ: وَعِنْدِي عَجُوزٌ تَرْقِينِي مِنَ الْحُمْرَةِ، فَأَدْخَلْتُهَا تَحْتَ السَّرِيرِ، فَدَخَلَ، فَجَلَسَ إِلَى جَنْبِي، فَرَأَى فِي عُنُقِي خَيْطًا، قَالَ: مَا هَذَا الْخَيْطُ؟ قَالَتْ: قُلْتُ خَيْطٌ أُرْقِيَ لِي فِيهِ، قَالَتْ: فَأَخَذَهُ فَقَطَعَهُ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ آلَ عَبْدِ اللهِ لَأَغْنِيَاءُ عَنِ الشِّرْكِ، سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ الرُّقَى، وَالتَّمَائِمَ، وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ قَالَتْ: فَقُلْتُ لَهُ: لِمَ تَقُولُ هَذَا وَقَدْ كَانَتْ عَيْنِي تَقْذِفُ، فَكُنْتُ أَخْتَلِفُ إِلَى فُلَانٍ الْيَهُودِيِّ يَرْقِيهَا، وَكَانَ إِذَا رَقَاهَا سَكَنَتْ؟ قَالَ: إِنَّمَا ذَلِكَ عَمَلُ الشَّيْطَانِ كَانَ يَنْخُسُهَا بِيَدِهِ، فَإِذَا رَقَيْتِهَا كَفَّ عَنْهَا، إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكِ أَنْ تَقُولِي كَمَا قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اِشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا
Apabila
‘Abdullah (Ibnu Mas’oud) selesai dari suatu keperluan, beliau berhenti
pada pintu, ia berdehem dan membuang ludah kerana khuwatir menemukan
sesuatu yang tidak berkenan dari kami.
Suatu
hari beliau datang dan berdehem, beliau berkata dan ketika itu di sisiku
ada seorang nenek sedang menjampiku dari humrah (sejenis radang kulit),
lalu aku menyembunyikannya di bawah tempat tidur. Beliau pun masuk dan
duduk di sisiku, beliau melihat jahitan di leherku lalu bertanya,
“Benang apa ini?” Aku jawab, “Benang untuk menjampiku.” Lalu beliau pun
mengambil dan memotongnya sambil berkata, “Sesungguhnya keluarga
‘Abdullah tidak memerlukan syirik, aku mendengar Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ
“Sesungguhnya jampi serapah, tangkal-tangkal, dan tiwalah adalah syirik.”
Zainab
berkata, “Aku katakan kepadanya, “Kenapa engkau mengatakan seperti itu
padahal mataku pernah sakit. Aku selalu datang kepada fulan, seorang
yahudi untuk menjampinya, dan sebaik ia menjampi, sakit itu pun reda.”
Beliau
(Ibnu Mas’ud) berkata, “Itu adalah perbuatan syaitan yang menggerakkan
dengan tangannya, apabila engkau dijampi dengannya, maka halanglah.
Sesungguhnya cukup bagimu dengan mengucapkan sebagaimana yang diucapkan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اِشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا
“Hilangkanlah
sakit ini wahai Tuhan seluruh manusia, sembuhkanlah, Engkau Maha
Penyembuh, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan
yang tidak meninggalkan kesakitan.”.” (Hadis Riwayat Ahmad, 6/110, no.
3615. Abu Daud, 10/386, no. 3385. Dinilai sahih oleh al-Albani dan
Syu’aib al-Arnauth)
Tiwalah
adalah sesuatu yang dibuat bagi menjadikan seorang seorang lelaki
tertentu rasa jatuh cinta kepada seorang wanita, atau seorang wanita
akan tertarik kepada seorang lelaki.
Dalam
kalangan masyarakat Melayu hari ini mungkin ia lebih dikenali antaranya
sebagai minyak dagu, minyak pengasih, minyak penunduk raja, dan ilmu
pengasih asap rokok.
Termasuk
di dalam bentuk-bentuk alat penangkal lainnya yang popular dalam
kalangan masyarakat hari ini adalah seperti susuk, gelang-gelang
kesihatan, tuah batu keramat, ibu serai, khadam ayat, batu serai, ibu
duit, wafaq, kayu kokka, dan batu petir.
Adapun
jampi (atau ruqyah), maka ia terbahagi kepada beberapa keadaan. Dan
jampi (ruqyah) yang dibenarkan adalah apa yang diambil dari al-Qur’an
atau al-hadis berdasarkan tunjuk-ajar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam dan para sahabatnya. Termasuk ruqyah yang dibenarkan adalah apa
jua doa secara umum yang boleh difahami iaitu yang dimohon hanya kepada
Allah Ta’ala selagi mana tidak mengandungi lafaz-lafaz yang syirik dan
tidak disertakan dengan ritual-ritual yang bid’ah.
Setelah
kita fahami perkara ini dengan jelas, maka tinggalkanlah apa-apa jua
bentuk tangkal, azimat, jampi-serapah serta yang seumpamanya. Kerana ia
tidak memberi sebarang manfaat melainkan kesesatan dan kesudahan yang
buruk. Tiada sama sekali padanya kesaktian dan kebaikan, melainkan
kebodohan dan kerugian dunia dan akhirat.
Mungkin
ada yang beralasan bahawa ia adalah sebahagian dari bentuk-bentuk usaha
dan ikhtiar. Sedangkan bagi yang memahami perkara ini dengan baik, kita
pasti akan mengatakan bahawa usaha dan ikhtiar itu sendiri perlu
dilaksanakan dengan kaedah yang benar, dan bukan dengan jalan yang
bathil.
Kerana
setiap usaha dan ikhtiar di atas jalan kebathilan, maka ia akan tetap
bathil dan tidak dinamakan sebagai usaha. Demikianlah dengan orang yang
berusaha mendapatkan wang, tetapi mengusahakan (atau berikhtiar) dengan
jalan yang haram seperti mencuri, merompak atau berjudi, maka ia akan
tetap tidak dianggap sebagai usaha dan ikhtiar yang benar.
Bahaya Syirik
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
“Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang paling besar.” (Surah Luqman, 31: 13)
وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amal-amal kebaikan yang telah mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 88)
إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا بَعِيدًا
“Sesungguhnya
Allah tidak mengampuni dosa mensyirikkan-Nya, dan Allah mengampuni dosa
selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Segsiapa yang
mensyirikkan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”
(Surah an-Nisaa, 4: 116)
Allah
tidak menerima apa jua bentuk amal daripada pelaku syirik. Bahkan
amal-amal mereka seperti debu yang berterbangan. Di akhirat, doanya
tidak diterima, dan dia tidak dimaafkan. Ini sebagaimana firman Allah
Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya):
وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا
“Dan kami
nilai segala amal yang mereka usahakan, lalu kami jadikan amal itu
(seperti) debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqon, 25: 23)
Wallahu a’lam.
Tangkal berbentuk Cincin |
Minyak Pengasih Yang Dipercayai Memiliki Kuasa Cinta Guna-guna |
Ramai beranggapan kayu kokka memiliki pelbagai khasiat perubatan, kuasa penyembuhan, menarik rezeki dan sebagai tangkal pendinding |
Contoh tangkal berbentuk gelang atau kalung untuk menolak keburukan dan kejahatan |
Contoh lakaran wafaq dengan rajah dan tulisan aneh yang tidak difahami melainkan oleh dukun pembuat tangkal |
Tangkal botol berisi ayat-ayat jampi sebagai penjaga rumah |
Batu jed yang dipercayai memiliki kuasa penyembuh, penenang, membuang aura kejahatan, menaikkan seri, dan menarik rezeki |
Contoh wafaq dengan pelbagai ragam formasi tulisan aneh. Biasanya dibungkus dalam kain hitam atau kuning. |
Tangkal berbentuk "angka 786" pada papan tanda salah sebuah restoran di Shah Alam. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa bagi sebahagian orang, terutamanya golongan India Muslim atau mamak - "angka 786" dipercayai mampu membawa tuah dan menarik rezeki. |
Tangkal berbentuk frame kuning keemasan (seperti bingkai gambar) di bahagian dinding atas belakang kaunter bayaran sebuah restoran mamak di Shah Alam. Ini adalah antara bentuk-bentuk tangkal pelaris perniagaan. |
TONTON VIDEO MANUSIA KEBAL YANG DIPERCAYAI MEMAKAI TANGKAL KEBAL DI BAWAH.
No comments:
Post a Comment