Nuffnang Ads

Thursday, March 21, 2013

Rebah di hujung peluru...Kisah Detik Cemasnya


Batu Pahat: “Tiba-tiba kami dihujani ribuan peluru dan satu daripada peluru itu mengenai bahu kanan saya. Ketika itu, saya hanya mampu berserah kepada Allah sambil membalas tembakan selama 20 minit,” kata Konstabel Mohammad Qaiyyum Aikal Zolkifli, 22, seorang daripada anggota polis yang diserang pengganas di Lahad Datu, Sabah, dalam kejadian 1 Mac lalu.Dalam kejadian pada jam 9.59 pagi di Kampung Tanduo, Lahad Datu itu, dua rakannya Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Allahyarham Koperal Sabarudin Daud, 46, maut di tempat kejadian.

Semua anggota VAT 69 itu diserang ketika berkawal di satu pos sekitar Kampung Tanduo selama 20 minit menyebabkan tiga anggota keselamatan cedera, dua maut dan 12 pengganas terbunuh.Mohammad Qaiyyum berkata, dalam pertempuran itu dia terkena tembakan di bahu kanan lalu rebah.“Tiba-tiba kami ditembak. Musuh menggunakan senjata berat dan satu daripada ribuan peluru itu mengenai bahu saya.“Sebaik rebah, dua rakan saya meninggal dunia akibat ditembak pengganas berkenaan dan ketika itu, saya hanya berserah kepada Allah kerana beranggapan kami tiada harapan walaupun masih bersemangat dan membalas tembakan bagi menumpaskan mereka.

“Melihat saya cedera, seorang rakan menarik saya berlindung di sebalik pokok kelapa sawit sambil berbalas tembakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Kelicap, di sini, semalam.Mohammad Qaiyyum disambut 500 penduduk tempatan sebaik tiba di rumahnya diiringi Ahli Parlimen Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad.Menurutnya, walaupun terselamat dalam kejadian itu, dia sedih mengenangkan dua rakannya, Allahyarham Zulkifli dan Allahyarham Sabarudin meninggal dunia dalam kejadian sama.“Saya bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk melihat bumi Malaysia dan berharap sembuh sepenuhnya untuk terus berjuang bagi mempertahankan tanah air.

“Tiada perkataan serik atau putus asa, selagi saya masih bernyawa dan mampu melangkah saya akan terus berjuang,” katanya.Menurutnya, jika diizinkan dia akan ke Lahad Datu untuk meneruskan perjuangannya.
“Selepas saya sembuh sepenuhnya, saya masih ingin ke Lahad Datu untuk berjuang bersama rakan lain.
“Mempertahankan kedaulatan negara lebih penting daripada nyawa sendiri dan saya sanggup meneruskan perjuangan bagi menghalau penceroboh itu,” katanya.Sementara itu, bapa Mohammad Qaiyyum, Zolkifli Mohd Sidek, 57, bangga dengan keberanian anaknya mempertahankan tanah air.

“Saya menyokong apa saja yang dia lakukan dan bangga dengan keberanian ditunjukkannya.“Dia anak kelima daripada tujuh beradik dan empat abangnya turut berkhidmat sebagai anggota keselamatan negara dengan seorang sebagai anggota polis dan tiga lagi anggota tentera,” katanya.Zolkifli berkata, dia tidak menghalang Mohammad Qaiyyum jika anaknya itu ingin berjuang lagi di Lahad Datu.

No comments:

Post a Comment