Nuffnang Ads

Sunday, October 28, 2012

'Sembunyi Daripada Komunis'!!!

“PERGI sorok lekas... komunis datang.” Itu antara kata-kata berbaur cemas yang sering diungkapkan penduduk di sekitar perkampungan pekan Batang Kali, Selangor, antara 1945 hingga 1989 setiap kali gerombolan komunis datang untuk menggeledah rumah mereka.
Disebabkan kawasan didiami mereka antara laluan komunis, boleh dikatakan ada wanita di sana turut diculik serta dilarikan komunis untuk memuaskan nafsu mereka.

Berikutan itu, penduduk membina pondok kecil di kawasan bukit berdekatan pekan Batang Kali untuk memudahkan anak gadis serta isteri mereka bersembunyi daripada komunis.

Akhirnya, kawasan pondok itu dijadikan penempatan tetap bagi kebanyakan penduduk yang tidak tahan diganggu komunis.

Penduduk, Robiah Naim, 86, berkata kampung itu diberi nama Kampung Menyuruk (menyorok) berikutan ketika komunis mengganas, ada wanita di sana dilarikan mereka.

Katanya, anggota komunis tidak memilih mangsa, sebaliknya akan menculik serta melarikan anak gadis atau isteri orang jika cantik pada pandangan mereka.

“Mak cik pindah ke sini mengikut suami ketika berusia 20 tahun. Ketika itu, kawasan ini sering diganggu komunis sebab ia antara laluan mereka untuk ke utara semenanjung serta Pahang.

“Jika datang ke sini, mereka menggeledah kampung sekitar Batang Kali untuk mencari bekalan makanan. Namun pada masa sama, mereka menculik serta melarikan wanita di kampung ini sebagai pemuas nafsu,” katanya.

Menurut Robiah, ada anak gadis diculik berikutan komunis tidak berpuas hati kerana tiada bekalan makanan disimpan oleh penduduk.

“Kerana marah, mereka menangkap wanita dan mengugut ahli keluarga lain untuk menyediakan bekalan makanan dalam tempoh beberapa hari.

“Jika tidak, anak gadis atau isteri mereka akan dibunuh atau dibawa ke tempat lain,” katanya.

Robiah berkata, sepanjang menetap di situ, dia sering terpaksa menyusup masuk daripada ruang bawah dapur ke semak di belakang rumah sebelum melarikan diri
untuk menyorok di belakang bukit yang kini dipanggil Kampung Menyuruk.

“Mak cik ingat lagi terpaksa menempuh semak-samun dalam keadaan gelap jika tiba-tiba komunis datang mengetuk rumah. Keadaan waktu itu memang sangat menakutkan.

“Habis calar balar serta luka tangan serta muka kerana menempuh duri serta kayu tajam di dalam semak,” katanya.

Bagi mengelak komunis tahu kewujudan mereka, Robiah berkata, wanita yang menyorok di belakang bukit terpaksa tunggu sehingga siang sebelum kembali ke rumah.

Ini kerana mereka khuatir komunis dapat mengesan dan tahu mereka menyembunyikan diri.

“Oleh kerana tempoh kami menyorok itu lama iaitu sehingga keesokannya, akhirnya penduduk di sini membina pondok kecil untuk anak serta isteri mereka berlindung.

“Pondok ini sangat kecil dan hanya muat untuk tidur. Nak masuk ke rumah ini pula kena membongkok,” katanya.

Menurut Robiah, bagi mengelak pondok dikesan komunis, ia dibina di tepi bukit saja serta ditutup dengan semak serta daun pokok.

Katanya, api serta pelita langsung tidak boleh dipasang kerana khuatir dikesan komunis.

“Pondok ini hanya untuk kami menyorok serta berlindung dan kami tidak dibenarkan tinggal di sini kerana tidak mahu komunis tahu ada rumah di sini.

“Namun, lama-kelamaan, apabila tentera Britain menempatkan unit polis
di sini, akhirnya kedatangan komunis berkurangan dan penduduk membangunkan kawasan ini sebagai tempat tinggal.

“Sejak itu kampung ini dipanggil Kampung Menyuruk bagi mengingatkan bahawa
ia dulu tempat kami menyorok daripada komunis,” katanya.



FAKTA:

Kampung Menyuruk, Batang Kali, Selangor

  • Terletak empat kilometer dari pekan Batang Kali
  • Penduduknya kira-kira 200 orang
  • Pertanian adalah aktiviti serta sumber ekonomi penduduk
  • No comments:

    Post a Comment