Nuffnang Ads

Sunday, October 28, 2012

Suami Ditanam Paras Kepala, Jannah!!! Jannah!!! Jannah!!

RAMTHA (JORDAN): Ditembak, disembelih, dibom, dipukul hingga mati dan dibunuh beramai-ramai. Begitulah seriusnya gambaran keadaan pergolakan di Syria.
Perang saudara yang meletus di antara puak pembebasan dan tentera rejim Bashar al-Assad sejak Mac lalu menyebabkan ratusan ribu terbunuh, manakala lebih sejuta warga Syria menjadi pelarian di Jordan. Jumlah itu meningkat saban hari.

Pengamatan wartawan Harian Metro selama lapan hari di bumi Jordan mendapati, setiap pelarian mempunyai kisah dan pengalaman ngeri masing-masing.
Malah, plot ceritanya hampir sama iaitu berkisarkan kekejaman dan penderitaan yang terpaksa ditanggung, namun antara yang menarik perhatian wartawan ialah kisah Asma, 43, berasal dari Dar’a, ketika lawatan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang ditemani Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz untuk mengedarkan barang keperluan berupa makanan dan selimut serta tilam kepada 1,500 pelarian.

Asma yang mempunyai suami dan enam anak berusia antara 10 hingga 45 tahun kini tinggal sebatang kara selepas seluruh keluarganya dibunuh kejam tentera kerajaan, jam 11 pagi pada 6 Ramadan lalu.

Ketika diminta wartawan untuk berkongsi kisah derita itu, air mata Asma bercucuran laju mengenangkan nasib anak dan suaminya.
Asma mengambil masa lebih 10 minit untuk menenangkan emosi sebelum berkata, suami dan anaknya dibunuh tentera kerajaan selepas menemui sebuah buku ‘Ikhwanul Muslimin’ di depan rumahnya.

“Saya percaya buku itu dibuang seorang daripada puak pemisah yang melarikan diri daripada buruan tentera kerajaan,” katanya.
Ketika ditanya wartawan yang dibantu dua pelajar Malaysia di Jordan iaitu Zainal Abdullah dan Muhd Alimin Mohd Abiah bagaimana seluruh keluarganya dibunuh, Asma sekali lagi menangis teresak-esak sebelum berkata dengan kuat, “Jannah! Jannah! Jannah!” (Syurga! Syurga! Syurga!) “Saya yakin janji Allah bahawa orang teraniaya seperti keluarga saya akan masuk syurga. Anak dan suami kini menunggu saya di syurga,” katanya yang enggan mengulas bagaimana suaminya dibunuh kerana terlalu emosi.

Sikap Asma membuatkan wartawan percaya dia menyimpan kisah menarik untuk dikongsi dengan rakyat Malaysia, membuatkan wartawan terus cuba meyakinkannya supaya bercerita.

Selepas mengambil masa 30 minit untuk menenangkan perasaan, Asma akhirnya membuka mulut.

Katannya, ketika kejadian dia berjalan ke sebuah kedai berhampiran rumah untuk membeli barangan dapur.

“Saya melihat sebuah kereta membawa enam hingga lapan anggota tentera berlegar-legar bagai memburu seseorang.

“Yakin suami dan anak saya tidak menyertai mana-mana kumpulan pembebasan, saya terus pergi ke kedai,” katanya sebelum mendengar bunyi puluhan das tembakan.

Curiga dengan keadaan itu, Asma berlari pulang ke rumah sebelum melihat suaminya dalam keadaan tertanam di tanah sehingga paras kepala dalam keadaan berlumuran darah.

“Malah, enam anak lelaki saya terbujur kaku di keliling bapa mereka. Ketika itu, saya juga ingin mati bersama mereka,” katanya.

Tambahnya, hanya Allah tahu keadaannya ketika itu dan dia dibawa menaiki sebuah kereta untuk berlindung di Jordan oleh jirannya selepas pengebumian enam anak dan suaminya.

Sebelum mengakhiri temubual itu, Asma meminta wartawan Harian Metro, Zainal dan Muhd Alimin supaya mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat Syria.

Doa dibacakan Zainal membuatkan Asma terus menangis. Wartawan kemudian meninggalkan khemah diduduki Asma sebelum bergerak pulang ke pusat penginapan dengan perasaan bercampur-baur.

No comments:

Post a Comment